Selasa, 6 Januari 2009

Zionis boleh runtuh melalui kuasa ekonomi?

Zionis boleh runtuh melalui kuasa ekonomi?

Ali Bukhari Amir Tue Jan 06, 09 6:56:58 pm MYT

Kenyataan Tzipi Livni pada 4 Januari lalu amat keras bersulam benang kesombongan dan dengan congkaknya, Livni berkata, itulah padahnya jikalau Hamas berani menyentuh Israel lagi.

Kata Livni, "Saya harap hasil daripada operasi (membedil Gaza) ini akan memberi kesan jangka panjang. Saat mereka melepaskan tembakan, kita akan membalas dengan serangan besar-besaran.
Mungkin beberapa operasi diperlukan bagi mencapai matlamat ini. Kita telah lama berjuang dan kita mesti lakukan secara kekerasan dari semasa ke semasa."

Dalam tulisan yang lalu, telah kita sentuh tentang kedudukan, sikap dan perawakan Livni yang tidak ubahnya seperti Golda Meir; seorang wanita yang menjawat jawatan Perdana Menteri Israel itu. Ramalan dunia terhadapnya ternyata tepat dan ada kebenarannya.

Livni dalam wawancara bersama sebuah stesen penyiaran Israel itu telah secara lantang, menolak perbincangan bersama Hamas. Menurut Livni, selama ini dia cuma berpura-pura bagi memastikan seluruh dunia memandang kerajaan Hamas sebagai tidak sah.

"Saya menolak mengadakan perbincangan dengan Hamas. Sejak Hamas berkuasa tiga tahun lalu, saya hanya berpura-pura agar seluruh dunia melihat Hamas sebagai tidak sah. Helah itu berjaya dan saya tiada hasrat untuk menukarkannya sekarang," katanya.

Di sebalik kesombongan itu, Livni juga mengakui bahawa mungkin rejim Israel tak akan dapat mencapai apa-apa yang dicita-citakan mereka melalui serangan itu. Wawancara itu berlaku, kira-kira sehari sebelum berlakunya serangan darat di Gaza.

Amerika melalui dutanya ke PBB, Alejandro Wolff, telah pun mengecam Hamas dengan berkata, "Majlis Keselamatan beberapa kali melahirkan kebimbangan mengenai serangan Hamas ke atas Israel." "Piagam pertubuhan ini menghormati hak setiap anggota mempertahankan dan hak Israel mempertahan diri tidak boleh dirunding," kata Wolff lagi. Sikap ini menunjukkan kepada kita dengan jelasnya bahawa umat Islam tak boleh lagi mendesak badan bukan Islam itu menerajui apa-apa perubahan di wilayah bergolak itu.

Kuasa besar Islam di mana?Prof Dr Ahmad Atory Hussain dalam suatu wawancaranya berkata, berkata, umat Islam hari ini tidak boleh lagi berharap kepada orang bukan Islam bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri.

"Orang Islam dan Palestin mesti selesaikan masalah sendiri. Saya lihat, orang-orang Arab asyik salahkan Barat. Tapi, masalah dalaman mereka sendiri, tak pernah diperbaiki.

"Selain itu, mesti wujudkan kuasa besar Islam atau dua buah tiga negara Islam yang mesti disokong orang Islam sendiri. Bukan untuk berperang tapi cukup sekadar menggerunkan Amerika," kata beliau lagi.

Selain itu, tambah Dr Ahmad Atory, masyarakat atau negara bukan Islam seperti Rusia, Perancis dan China keruh hubungannya dengan Amerika dan Israel perlu dilibatkan.

Di samping itu, kita dapat melihat betapa betapa banyaknya syor dan cadangan itu. Sama ada syor itu bersifat tindakan yang boleh dilaksanakan di peringkat rakyat bawahan atau pun peringkat kerajaan atau pihak atasan.

Contohnya, Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar diwujudkan suatu pasukan tentera pengaman OIC sendiri. Tapi syor begini, siapa yang mahu lobi agar ia dapat diwujudkan? Idea banyak, tetapi seolah-olah tiada orang yang menggerakkan, melobi idea itu.

Misalnya, pendapat Dr Ahmad Atory tadi, rasanya pernah disuarakan oleh bekas Presiden Iran, Khatami dahulu dengan namanya Islamic Union yang mirip kpeada European Union (EU), iaitu sebuah pakatan ekonomi dan politik di rantau Eropah.

Hasil pakatan EU itu antaranya telah melahirkan mata wang Euro sebagai saingan kepada mata wang Dollar Amerika.

Mahathir tidak endahkan Islamic Union?
tapi, Mahathir tidak endahkan gagasan itu dan akhirnya gagasan itu sepi begitu saja. Dan dalam kalangan pemberita, wartawan arus perdana pula tidak tergerak pula mereka untuk menggarisbawahkan isu itu menerusi akhbar mereka.

Tetapi akhir-akhir ini, dalam kenyataan terbaru, Dr Mahathir kembali semula dengan idea memulaukan mata wang dollar Amerika itu. Ini sememangnya syor yang baik juga.
Mahathir berkata, antara lain kenapa Dollar Amerika mesti dipulaukan, ialah kerana mata wang itu tiada disandarkan apa-apa nilai terhadapnya.

"Jika anda berhenti mengguna matawang itu, Amerika tak dapat berdagang dan tak dapat banyak duit. Dengan ini, negara itu akan terus menjadi miskin dan Amerika akhirnya akan berhenti menghasilkan senjata-senjata," katanya.

Tetapi, Mahathir mengakui bahawa usaha memulaukan matawang Amerika ini menuntut kepada hubungan kerjasama yang erat di seluruh negara di dunia.

Adakah Mahathir atau Yayasan Perang Jenayah KL Yayasan Kepimpinan Perdana berdaya membawa seruan ini kepada negara-negara dan mampu melobi tindakan ini kepada seluruh kerajaan?

"Tindakan ini tidak terbatas kepada Malaysia saja. Ini tidak akan berkesan. Seluruh dunia mesti terlibat. Kerajaan-kerajaan tak akan bertindak kerana mereka takut kepada Amerika Syarikat," kata beliau seperti menyindir dan mencabar kerajaan Malaysia sendiri.

Adakah Tun Mahathir boleh menyarankan kepada Najib sebagai Menteri Kewangan agar tidak lagi mengguna mata wang dollar Amerika dalam urusan perniagaan sedunia.

Tidak salah ingatan saya, Mahathir pernah menggesa agar ringgit Malaysia diikat kepada RM3.30 untuk setiap dollar Amerika, tetapi Najib berkata bahawa ringgit Malaysia mahu nilai ringgit itu teruskan ditentukan oleh pasaran sahaja.

Tak salah ingatan saya juga, Iran sudah menjalankan urusniaga minyak dalam mata wang Euro dan bukan lagi Amerika Syarikat. Adakah kita bersedia menggunakan Euro?

Tak salah saya juga ada satu laporan menunjukkan bekas Perdana Menteri itu menyimpan sejumlah wang di dalam akaun bank di Israel. Adakah wang itu masih tersimpan atau pun sudah dikeluarkan, tidaklah diketahui pula.

Inilah antara masalah kita sekarang. Watak-watak yang mempunyai buah fikiran terbaik, tetapi ternyata ada konflik lewat tindakannya yang tersendiri.

EU sudah wujudkan Euro. Jika wujud Islamic Union itu, mungkin boleh ada wang dinar emas yang akan dipersetujui pemakaian dan penggunaannya dalam hubungan kerjasama perdagangan antara negara-negara Islam. Tun Mahathir juga setuju dengan dinar ini.

Perjalanan kita membantah Israel sungguh panjang. Tapi, umat Islam masih gagal meraih wacana yang betul-betul kuat dan mantap. Yang tidak banyak melibatkan pemikiran agak senang dilakukan seperti membakar bendera dan berdemo.

Sedangkan, dalam 60 tahun belakangan ini (1948 hingga 2008) pemikir-pemikir Yahudi Zionis telah menyusun protokol-protokol mereka mengguna pemikiran yang tinggi. Jadi, seminggu berdemo dengan semata-mata tenaga belum tentu dapat menyaingi mereka.
6:42 p.m, 6 Januari Sekolah Pemikiran Pendang
Idea, saranan, buah fikiran, kritikan boleh dimajukan ke mel-e

ibnuamir@yahoo.com.

Nota: Bagi mereka yang ingin tahu kenapa semangat Zionis sangat kuat untuk mendapat tanah di Palestin, sila dengar lagu Hatikvah (The Hope), senikata lagu kebangsaan Israel http://www.youtube.com/watch?v=NjfFpFW9OdA.

Lihatlah semangat yang timbul daripada senikata lagu tersebut. Bandingkan dengan lagu Negaraku yang ada kaitan dengan lagu Terang Bulan atau Mamoolamoon pula. http://www.youtube.com/watch?v=bbrcdpUGGEI (Terang Bulan) _

This is copied article

Selamat Tahun Baru Hijrah 1430 dan Tahun Baru Masihi 2009

Assalamualaikum
Segala pujian hanya bagi ALLAH Yang Maha Agung, Selawat dan Salam Buat Rasulullah Sallallahualaihi Wasallam Tuan Segala Makhluk, Para Sahabat Baginda Rasulullah dan Ahli Keluarga Baginda Sallallahualaihi Wasallam.

Berselawatlah ke atas Baginda Rasulullah Sallallahualaihi Wassalam kepada sesiapa yang menjengah blog aku ini jika anda benar-benar mencintai dan menyayangi Baginda Sallallahualaihi Wasallam. Jangan lah kita tergolong di kalangan orang2 yang kedekut !!!

Dah lama aku tak buat posting.
Sibuk dengan tugas di pejabat.
Belum terlewat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1430 dan 2009 Masihi. jika dihitung umur kita mengikut tahun hijrah, kita lebih tua setahun jika dibandingkan umur kita dalm tahun masihi.
Semakin meningkat umur kita bermakna kita semakin dekat dan begitu hampir kepada KEMATIAN....KEMATIAN...ya...KEMATIAN
Takut dengan KEMATIAN?
Bersediakah kita menghadapi KEMATIAN?
Cukupkah amalan soleh kita bagi menghadapi KEMATIAN?
Berdoalah agar kita tidak dicabut nyawa ketika sedang melakukan dosa dan di dalam kelalaian?

Rasulullah bersabda di dalam satu hadith sahih yang mafhumnya "Umatku di akhir zaman menjadi amat lemah walaupun bilangan mereka ramai kerana umatku dijangkiti suatu penyakit iaitu AL-WAHN iaitu CINTAKAN DUNIA DAN TAKUT KEPADA KEMATIAN.

Di dalam sepotong ayat Quran Allah menyatakan antara bahan bakar api neraka adalah manusia dan batu-batu. Adakah kita ingin tergolong antara manusia yang menjadi bahan bakar api neraka?



Isnin, 10 November 2008

Ma'at Taufiq Wan Najah

SPM 2008...Hari ini 11/11/2008 (Selasa) bermulalah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Tahun ini seorang lagi anak saudaraku menduduki SPM iaitu Mohamed Ali Zainal Abeedeen. Beliau merupakan anak kedua dan lelaki sulung kepada kakakku yang sulung.
Sebenarnya 3 orang anak kakak sulung yang menduduki peperiksaan utama tahun ini.
Seorang mengambil UPSR. Kemudian seorang lagi baru sahaja selesai menduduki PMR.
Sekarang sistem SPM terbuka.
Tahun 1998 aku menduduki SPM.
Masa tu masih lagi SPM sistem lama.
Jika masih diberi kesempatan ingin sahaja aku menduduki semula peperiksaan SPM untuk subjek Bahasa Inggeris.
Semasa sekolah dahulu aku memang bangang dalam subjek BI.
Paling baik pun setiap kali ujian hanya memperoleh C7.
Aku tak faham langsung tatabahasa BI.
Perbendaharaan kata BI juga terlalu sedikit.
Setiap kali buat latihan, soalan pun gagal difahami.
Akhirnya cikgu BI aku juga yang jawabkan.
Kemudian aku sambung belajar di Matrikulasi UIAM di PJ.
Sejak belajar di UIAM barulah aku faham tentang BI dan perbendaharaan pun bertambah.
Keyakinan bertutur dalam BI juga bertambah dan mampu berbual menggunakan BI.
Bagi aku sistem pembelajaran BI di UIAM amat bagus daripada segi pengajaran tatabahasa, pertuturan dan penambahan perbendaharaan kata.
Kepada Ali (panggilan untuk anak buahku yang menduduki SPM tahun ini) Pak Teh ingin mengucapkan Semoga Berjaya !!!
USAHA-DOA-TAWAKAL

Selasa, 4 November 2008

Pergi Tak Kembali

Apa itu Pergi Tak Kembali yang dimaksudkan?
Itulah kematian. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati.
Adakah kita bersedia menghadapi kematian?
Semua insan yang beragama Islam tahu kematian itu menyakitkan.
Tidak tergambar dalam pemikirian kita bagaimana keadaan alam kubur.
Takut? Gandakanlah amal ibadah kita.
Cintai Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan sepenuhnya.
Jadikanlah Baginda صلى الله عليه وسلم sebagai za'im.
Moga-moga kita tergolong dalam golongan MUHAMMADIYYUN.
ALLHU AKBAR NAHNUL MUHAMMADIYYUNA WA LILLAHIL HAMD

Ahad, 12 Oktober 2008

PMR

Salam Sejahtera...
Agak lama tak coretkan sesuatu selepas Idulfitri 1429 H. Hari ini 13 Syawal 1429 H bersamaan 13 Oktober 2008. Bermula hari ini, semua pelajar Tingkatan 3 di seluruh negara akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sehingga 17 Oktober 2008. Anak Kak Long aku yang ketiga juga menduduki PMR tahun ini. Nama dia Mohammed Ali Sajjad. Dia bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Musyi Abdullah, Batu Berendam, Melaka. Seluruh ahli keluarga mendoakan Ajad (panggilan kepada anak buah aku tu) moga berjaya dalam PMR. Aminn.....

Ahad, 28 September 2008

Kulla Sanah Wa Antum Toyyibin

Hari ini 29 Ramadhan 1429 Hijriyyah bersamaan 29 September 2008 (Isnin). Cepat betul masa berlalu sekarang. Rasa baru sahaja hari pertama Ramadhan hadir....tiba-tiba tanpa disedari sudah 29 Ramadhan hari ini. Moga dipanjangkan umur untuk bertemu lagi dengan bulan yang mulia ini tahun hadapan.
Maka sewajarnya kita muhasabah diri kita setelah hampir menamatkan 'tarbiyyah period' ini. Adakah kita berubah kepada yang lebih baik? Adakah kita solat tarawih tanpa meninggalkan sehari pun? Berapa malam kita bangun untuk mengerjakan qiamullail? Banyakkan kita bersedekah? Banyakkah amalan sunat yang kita lakukan? Bagi yang telah berkeluarga pula - Adakah isteri dan anak-anak kita diajak bersama melakukan amal ibadah sepanjang Ramadhan ini? Adakah isteri dan anak-anak kita dikejutkan untuk mengerjakan qiamullail bersama kita? Adakah sikap berjimat cermat dan bersederhana dalam segala hal berjaya kita amalkan dan diterapkan ke dalam diri isteri dan anak-anak kita?....banyak lagi soalan bagi menilai diri kita.
Ingatan ini juga untuk diriku yang lemah dan sering lalai ini. Moga Allah mengampunkan dosa-dosaku.
Sebentar lagi aku akan pulang ke Melaka. Berhari raya di Melaka...rumah Kak Long. Pada 2 Syawal baru pulang ke kampung di Kuala Lipis, Pahang bersama ibu ayah dan abangku. Ibu ayah hendak berhari raya dengan cucu-cucu mereka. Hari ini pun pejabat aku dah sunyi, tinggal dua tiga staf sahaja.
Moga Syawal tahun ini mengeratkan hubungan kekeluargaan antara ahli keluargaku.
Kepada sahabat-sahabat dan sesaiapa sahaja yang mengenaliku...mohon ampun dan maaf di atas segala kesilapan ku pada kalian. Jangan lupa puasa 6 hari di bulan Syawal.
Sekian....Putrajaya